Monday, March 3, 2014

SEJARAH DAN TEORI REKABENTUK BANDAR LINER

landscaping idea
Click the above link to see the pictures.
Go to the following sites for further pictures :

http://www.hbp.usm.my/cad/LectureNotes/RPK%20332/web1/BandarGeometri_files/


SEJARAH DAN TEORI REKABENTUK BANDAR LINER

REKA BENTUK BANDAR GEOMETRI

(oleh Dr. Ahmad Sanusi Hassan)

Abstract

Based on Western World View, the origin of geometric city design in Europe can be traced about thousands of years ago introduced by Hippodamus, the great
Greek city builder. He introduced a simple city masterplan of Miletus with gridiron system, a ‘chessboard’ looks like pattern, with straight streets crossing
at right angles. The new plan with its rectangular network of streets seems to have involved the whole of Milesian peninsula. Similar design also was referred
by Roman planners in establishing towns and cities across the Roman Empire. King Louis XIV, the French ruler had entrusted Andre le Notre to built Versailles
based on this geometric essence, created in detail in a rectilinear and well-planned Baroque fashion. Le Corbusier interpreted the essence of this geometric
design as Man’s way because he thought that man always walks in a straight line as he has a goal and knows where he is going; he has made up his mind to
reach some particular place and goes straight to it. Man governs his feelings by his reason works in order that he may not perish. In order that production
may be possible, a line of conduct is essential (Barnett, 1987). Modern American cities are built based on this gridiron system especially since Jefferson’s
era with a square and geometric city and town masterplan, with buildings in simple formation and design in the rectangular land plot, easily facilitated
with sewers, water supply, tunnels, street networks and pavements. The circulations of traffic are in straight line as it is systematic for a street networks
in the city.

Pengenalan

Corak perkembangan penempatan boleh dibahagikan kepada dua sistem iaitu (1) sistem yang berlandaskan reka bentuk geometri dan (2) sistem perancangan bukan
berbentuk geometri. Menurut Le Corbusier, sistem yang pertama ini dikenali sebagai ‘Man’s Way’ (sistem geometri) manakala sistem yang kedua ialah ‘Pack
Donkey’s way’ (sistem bukan geometri) (Barnett, 1987). Mengapa beliau berkata sedemikian? Le Corbusier mempunyai alasan yang kukuh kenapa beliau menamakan
sedemikian kerana beliau memikirkan ada dua jenis corak penempatan yang dapat dikenalpasti iaitu yang pertama ialah corak penempatan yang dirancang dan
yang kedua ialah corak penempatan yang tidak terancang. Dalam penulisan ini, perbincangan mengenai sistem reka bentuk geometri hanya akan dihuraikan manakala
sistem yang satu lagi insyaallah akan dibincangkan pada penerbitan akan datang. Man’s way berlandaskan hujah Le Corbusier ialah suatu perancangan bandar
yang menampilkan citarasa ‘rasional manusia’ apabila mereka mempunyai peluang terlibat dalam sesuatu penempatan yang dirancang (pra-perancangan) terlebih
dahulu. Dalam sistem ini, tahap penglibatan para jururancang amat aktif sekali. Sesuatu perancangan penempatan dirancang sebelum sesuatu penempatan dijalankan.
Kawalan yang diambil kepada kawasan penempatan tersebut sangat diambilberatkan. Undang-undang khas dikeluarkan untuk memastikan pihak yang terlibat dalam
sesuatu pembinaan penempatan dan bandar tidak melanggar undang-undang tersebut. Secara tidak langsung, undang-undang yang dijalankan ini memastikan perkembangan
penempatan ini dijalankan mengikut pelan induk perancangan seperti yang telah diluluskan.

Le Corbusier adalah tergolong daripada generasi arkitek dan perancang bandar yang terlibat dalam era reka bentuk moden (modern movement). Unsur-unsur geometri
sangat mempengaruhi pemikiran generasi reka bentuk gaya seni moden ini. Mereka menyanjungi penggunaan unsur-unsur moden ini yang berasal daripada gaya
seni reka bentuk tamadun Yunani dan Romawi yang sekian lama diketepikan semasa Zaman Pertengahan Eropah, dan gaya seni ini diaplikasikan kembali sejak
Zaman Renaissance. Elemen-elemen geometri ini berkait rapat dengan perkembangan rekaan mesin jentera. Setiap gaya rekaan reka bentuk mesin dipengaruhi
oleh bentuk geometri yang menyenangkan sesuatu produk dapat dihasilkan di kilang-kilang secara besar-besaran. Le Corbusier percaya bahawa elemen geometri
ialah simbol reka bentuk yang paling mudah difahami secara rasional oleh manusia sebagaimana ia sebelum ini mengembangkan idea-idea rasional tamadun Yunani
seperti teori-teori falsafah yang diilhamkan oleh Aristotle dan Pythogras. Ilmu matematik menghuraikan secara rasional hasil yang didapati daripada sesuatu
penghasilan gaya reka bentuk hukum graviti bumi. Menurut beliau, manusia mempunyai minda yang rasional dan bertindak membuat sesuatu keputusan berdasarkan
faktor logik berasaskan akal pemikirannya. Setiap orang mempunyai matlamat masing-masing. Dalam sistem ala-manusia (man’s way), manusia sanggup mengharungi
apa saja rintangan dan berbuat apa saja asalkan matlamat mereka tercapai. Perancangan awal dibuat untuk mencapai matlamat tersebut. Mereka akan mencari
jalan penyelesaian yang paling efisien dalam menangani masalah-masalah yang timbul. Secara kesimpulannya, Le Corbusier boleh dianggap sebagai seorang ahli
falsafah arkitek dan perancang bandar yang mempunyai kepercayaan bahawa minda rasional dan manusia ialah dua faktor yang mempunyai hubungan yang sangat
erat. Hubungan inilah yang mengilhamkan ciri-ciri reka bentuk yang ringkas, mudah difahami dan logik oleh akal fikiran.

manusia · · matlamat

Rajah 1: Perancangan bandar sistem Man’s Way.

Reka Bentuk Bandar Geometri: Tamadun Yunani dan Romawi

Penggunaan reka bentuk geometri digunakan kerana masyarakat semasa Zaman Renaissance percaya penerapan yang berasaskan sistem yang telah dipraktikkan semasa
Tamadun Yunani semenjak sekitar tahun 900 B.C. dan Romawi semenjak sekitar tahun 500 B.C. akan mengembalikan Tamadun Eropah yang malap semasa Zaman Pertengahan.
Orang-orang Yunani dan Romawi menerapkan kaedah penggunaan geometri (geometric planning) dalam reka bentuk bandar. Dalam sejarah tamadun Yunani, bandar-bandar
yang wujud pada masa itu ialah setiap bandar diperintah oleh satu kerajaan. Sistem ini juga dikenali sebagai negara-bandar (City State) seperti Athens,
Sparta, Olynthus dan Miletus. Contoh negara-bandar pada masa sekarang ialah Singapura, Hong Kong, Monte Carlo dan Adorra. Sistem perancangan penempatan
secara amnya di bandar-bandar Yunani ini menggunakan sistem grid. Bandar-bandar Yunani sentiasa menghadapi ancaman daripada Empayar Parsi. Sesetengah bandar
musnah kerana serangan daripada tentera Parsi terutamanya bandar-bandar yang terletak di Asia Kecil (Asia Minor) iaitu negara Turki pada masa sekarang.
Oleh itu, pembangunan semula bandar-bandar yang musnah kerap dilakukan. Seorang tokoh yang memperkenalkan sistem grid dalam reka bentuk bandar Yunani ialah
Hippodamus, yang berasal dari bandar Miletus. Mengikut sejarah, bandar sedia ada ini musnah kerana serangan oleh tentera Parsi pada 494 B.C. Bandar Miletus
merupakan bandar yang pertama menggunakan sistem perancangan bercorak grid (Wycherley 1973). Sebelum bandar sedia ada musnah dalam peperangan, reka bentuk
perancangan bandar lama bukan berbentuk grid tetapi bercorak irregular iaitu corak perancangan penempatan yang tidak teratur yang terbentuk secara spontan.

Corak grid yang diperkenalkan oleh Hippodamus ini sangat ringkas iaitu membahagikan setiap sempadan lot-lot tanah berdasarkan persilangan jalan-jalan yang
lurus pada sudut tepat. Walaupun ia berbentuk ringkas tetapi bentuk ini sangat praktikal. Sekali pandang, corak ini tidak mempunyai sebarang keistimewaan.
Orang yang bukan dalam bidang reka bentuk juga mampu mengilhamkan idea sedemikian. Walaupun ia nampak senang diilhamkan, sebenarnya aplikasi sistem ini
memberi banyak faedahnya. Ia mungkin merupakan faktor utama mengapa Hippodamus memperkenalkan corak ini. Corak ini menyenangkan sistem pembahagian lot-lot
tanah. Sistem grid membolehkan sempadan lot-lot tanah ini dapat dinyatakan dengan tepat iaitu jalan merupakan garisan utama yang menyepadani lot-lot tanah
tersebut. Penggunaan sistem ini mengurangkan masalah pembahagian lot-lot tanah kecil yang biasa dihadapi dan sukar diatasi berdasarkan sejarah penempatan
koloni-koloni Inggeris di Amerika Syarikat jika penggunaan corak perancangan diaplikasikan berasaskan sistem topografi. Menurut Wycherley (1973), sistem
ini sangat sesuai bagi orang-orang Yunani Purba kerana mereka merupakan satu bangsa yang sangat aktif membuka penempatan-penempatan baru di sekitar Lautan
Mediteranean. Penempatan-penempatan ini dikenali sebagai koloni-koloni. Dengan menggunakan

Rajah 2: Lakaran pelan reka bentuk bandar Miletus selepas 494 Sebelum Masihi yang dibangunkan oleh Hippodamus. (Lakaran oleh penulis berdasarkan lukisan
Von Gerkan dalam buku How the Greeks Built Cities)
sistem ini, ia memudahkan kaedah pembahagian tanah kepada peneroka-peneroka di sesuatu penempatan. Orang-orang Yunani bukanlah bangsa penjajah tetapi mereka
merupakan ahli pelayaran yang terunggul, meluaskan pengaruh mereka di sekitar Lautan Mediteranean dengan membuka koloni-koloni baru. Sistem grid juga memudahkan
orang-orang Yunani membina dan mentadbir infrastruktur-infrastuktur yang dibangunkan seperti bekalan air, jalan dan sistem pembuangan najis dan sampah.
Bayangkan dengan teknologi yang ada pada tahun 900 hingga 400 sebelum masihi berbanding teknologi pada masa sekarang, ia menunjukkan bahawa membangunkan
sistem bekalan air dan pembuangan najis bukan suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi infrastruktur-infrastruktur yang dibangunkan ialah kemudahan-kemudahan
awam yang akan digunakan oleh 10,000 penduduk. Sistem grid menawarkan pembangunan infrastruktur yang sistematik; ia mudah dibina dan senang diuruskan.
Longkang-longkang dibina untuk menyalurkan sisa buangan ke laut dan longkang-longkang khas juga dibina untuk menyalurkan sumber air kepada penduduk-penduduk
bandar tersebut.

Apa yang menghairankan ialah bentuk mukabumi di Asia kecil dan Greek adalah berbukit bukau dan poros. Perancangan menggunakan sistem grid tidak sesuai pada
bentuk topografi tersebut. Sistem grid sesuai dipraktikkan pada mukabumi landai dan bertanah pamah. Sistem ini biasa digunakan dalam perancangan bandar
semasa tamadun Mesopotamia dan Mesir purba. Bentuk mukabuminya yang pamah dan berpasir (gurun) membolehkan sistem grid dapat dibangunkan dengan mudah dalam
sesuatu reka bentuk bandar. Topografi gurun yang pamah serta tiada rimbunan pokok-pokok yang tinggi membolehkan manusia mendapat pandangan yang luas dari
ufuk barat dan timur, ke ufuk utara dan selatan ke atas tapak penempatan mereka, dan secara tidak langsung, ia memudahkan manusia membuat perancangan sebelum
sesuatu penempatan/bandar diterokai.

Hippodamus dipercayai mengambil idea reka bentuk bandar ini daripada tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba untuk diterapkan dalam reka bentuk bandar-bandar
Yunani. Idea ini walau bagaimanapun sukar diterapkan kerana mukabumi bandar-bandar mereka berbukit-bukau. Reka bentuk grid kebiasaannya digunakan di kawasan-kawasan
bandar yang bertanah landai. Sistem ini menjadi praktikal kerana sesetengah bandar Yunani musnah semasa peperangan. Situasi ini memudahkan aplikasi reka
bentuk grid. Sistem ini mudah digunakan untuk perancangan bandar-bandar baru. Ia mengambilalih sistem reka bentuk bandar lama yang dibangunkan secara tidak
teratur. Hippodamus merasakan sistem yang paling mudah untuk membangunkan bandar yang telah musnah ialah corak reka bentuk grid. Corak reka bentuk ini
tidak memerlukan belanja yang besar untuk membangunkan infrastruktur bandar. Cara ini meringankan beban pihak berkuasa pada zaman tersebut yang tidak mampu
membiayai belanjawan secukupnya untuk membina balik bandar yang musnah mengikut reka bentuk asal. Sistem grid juga dapat dibangunkan dengan cepat sejajar
dengan langkah pihak berkuasa untuk memastikan penduduk-penduduk yang terselamat dalam peperangan dapat dibekalkan perumahan dan infrastruktur yang mencukupi
dalam jangkamasa yang singkat. Kesimpulannya, Hippodamus ialah seorang perancang yang bijak. Beliau telah memikirkan semasak-masaknya langkah yang perlu
diambil dalam menangani situasi pada masa itu.

Rajah 3: Lakaran pelan reka bentuk bandar Priene yang dibina berdasarkan sistem grid.

(Lakaran oleh penulis berdasarkan lukisan Von Gerkan dalam buku How the Greeks Built Cities)

Idea yang disarankan oleh beliau menjadi rujukan utama dalam pembangunan semula bandar-bandar lain yang musnah dalam peperangan seperti Olynthus dan Priene,
kemudian ia menular ke bandar-bandar di Semenanjung Greek terutamanya kawasan-kawasan koloni yang baru dibangunkan, dan ia juga menjadi corak reka bentuk
utama dalam pembangunan bandar-bandar koloni baru di kawasan penempatan di sepanjang Lautan Mediteranean. Sistem pembahagian grid adalah senang untuk diuruskan
semasa pembahagian tanah oleh peneroka-peneroka Yunani yang membangunkan bandar-bandar baru. Kebanyakan reka bentuk bandar yang mengaplikasikan sistem
grid mempraktikkan corak ini di kawasan-kawasan tanah pamah. Pada bentuk mukabumi yang berbukit bakau, sistem grid kurang diamalkan. Reka bentuk ini dapat
dilihat pada Rajah 2 iaitu corak grid bandar Miletus yang dibangunkan di kawasan tanah pamah manakala ia kurang diamalkan di kawasan berbukit-bukau.

Sistem grid Yunani ini boleh dihubungkaitkan dengan reka bentuk klasikal dan ideologi demokrasi sebagai imej sistem politik Yunani Purba. Ia boleh dikatakan
menjadi simbol utama dalam perancangan reka bentuk bandar-bandar di negara Amerika Syarikat yang cuba mempamerkan bahawa ia mewarisi amalan ideologi demokrasi
(Rajah 9). Oleh itu, hubungan visual reka bentuk grid ala Yunani ini dengan demokrasi sangat unik di negara tersebut. Ia melambangkan pembangunan fizikal
berdasar kepercayaan sistem pemerintahan negara-negara demokrasi. Sistem ini juga diamalkan semasa zaman tamadun Romawi. Orang-orang Romawi memperkukuhkan
budaya dan pengaruh tamadun Yunani, dan menyebarkannya ke seluruh empayarnya. Empayar Romawi memerintah selama lebih kurang 1000 tahun. Empayarnya boleh
dibahagikan kepada 3 zaman iaitu Zaman Pemerintahan Demokrasi, Zaman Imperial dan Zaman Kristian. Zaman Awal empayar Romawi bermula dengan sistem pemerintahan
yang mirip sistem pemerintahan kerajaan semasa Tamadun Yunani Purba. Ia merupakan zaman gemilang Empayar Romawi. Kepimpinan sesebuah kerajaan dipilih berdasarkan
sistem pengundian oleh rakyat. Di samping sistem pemerintahan politik, orang-orang Romawi pada zaman tersebut mengintegrasikan sistem reka bentuk bandar
dan seni bina klasikal dalam pembangunan bandar-bandar mereka samada di dalam negara mereka mahupun bandar-bandar jajahan mereka. Bandar Rom iaitu ibukota
empayar Romawi contohnya dibina dengan sistem grid dengan penampilan dua jalanraya utama iaitu ‘Cardo dan Decumanus’ sebagai ikon reka bentuk bandar tersebut.
Cardo dan Decumanus merupakan dua jalanraya utama yang bersilang pada sudut tepat pada arah Utara-Selatan dan Timur-Barat yang dibina di sepanjang bangunan-bangunan
dan monumen-monumen utama dalam bandar Rom. Bangunan-bangunan tersebut merupakan bangunan utama pusat-pusat pemerintahan. Pembinaan dua jalanraya tersebut
memberi banyak faedah dalam pentadbiran kerajaan Romawi. Jalanraya ini mengurangkan kesesakan trafik di kompleks bangunan pusat pemerintahan kerajaan kerana
kelebaran dua jalanraya ini lebih besar daripada jalan-jalan lain.

Apabila masalah trafik dikurangkan, ia memudahkan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan urusan kerja-kerja mereka. Ia memperbaguskan sistem pengurusan kerajaan
dari satu bangunan ke bangunan yang lain. Di samping itu, Cardo dan Decumanus melambangkan kekuatan kepimpinan pemerintahan kerajaan Romawi. Dua jalanraya
tersebut meningkatkan nilai fungsi bangunan kerajaan sebagai objek dan ruang yang terpenting dalam bandar Rom berbanding dengan bangunan-bangunan biasa
yang lain. Ia menonjolkan ikon bandar Rom sebagai sebuah ibukota dan bandar pemerintahan dalam empayar Romawi. Sistem ini juga digunakan di bandar-bandar
lain termasuk bandar-bandar di tanah jajahan mereka. Bandar-bandar ini diperintah oleh gabenor-gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat. Kompleks bangunan
kerajaan dibina oleh gabenor-gabenor Romawi sebagai tempat urusan pemerintahan. Sistem ini melambangkan kekuatan dan kemegahan kuasa kerajaan empayar Romawi
di tanah-tanah jajahan mereka di sepanjang pantai Lautan Mediteranean. Menurut Trachtenberg dan Hyman (1986), model reka bentuk ini dikenali sebagai reka
bentuk bandar castrum yang berasal daripada lokasi kem militari askar-askar Romawi yang dapat dijumpai di banyak buah bandar dalam Empayar Romawi dari
bandar Timgad di Algeria, Afrika Utara sehinggalah ke bandar Silchester di England, Eropah Utara.

Forum

Rajah 4: Lakaran pelan bandar Timgad, Algeria. Ia merupakan sebuah bandar Romawi purba dibina berlandaskan reka bentuk bandar castrum (kem militari) berasaskan
sistem grid. Dua paksi utama iaitu Cardo dan Decumanus bertemu pada satu ruang bangunan pentadbiran (Forum).

(Lakaran oleh penulis berdasarkan sebuah lukisan dalam buku Architecture: From Prehistory to Post-Modernism/The Western Tradition)

Reka Bentuk Bandar Geometri: Dunia Baru Amerika Syarikat

Berdasarkan penulisan oleh Grulio Argan (1968) dalam bukunya yang bertajuk ‘The Renaissance Cities’, teknik perancangan bandar dapat dikenalpasti secara
jelas kepada dua prototaip iaitu sistem ‘Man’s Ways’ yang berasaskan reka bentuk geometri yang begitu popular diamalkan oleh kebanyakan negara-negara di
Dunia Baru (New World) seperti di negara Amerika Syarikat, dan prototaip kedua iaitu berasaskan sistem perancangan yang kurang menekankan reka bentuk perancangan
geometrik berlaku di Dunia Lama (Old World) iaitu negara-negara Eropah yang berkecamuk dengan sistem perancangan reka bentuk zaman pertengahan (medieval)
sedia ada dengan masalah penghijrahan penduduk-penduduk tempatan ke bandar-bandar untuk mencari peluang pekerjaan daripada industri-industri tempatan yang
berkembang dengan pesatnya semenjak tercetusnya Revolusi Industri. Manakala Amerika Syarikat merupakan sebuah benua yang baru diterokai iaitu sebarang
perancangan pembangunan sesebuah bandar terpaksa dimulakan daripada status ‘tiada’ pembangunan fizikal kepada ‘ada’. Dengan kata lain, pembangunan seluruh
bandar di Amerika Syarikat dapat mengaplikasikan sistem reka bentuk perancangan bandar/penempatan yang telah dirancangkan terlebih dahulu dengan mudah
tanpa sebarang batasan berdasarkan pelan induk asal (pra-perancangan). Maka tidak hairanlah apabila kita mengetahui corak reka bentuk perancangan bandar-bandar
di Amerika mempunyai mirip konsep penempatan dan perancangan bandar baru Tamadun Yunani. Corak grid yang diaplikasikan adalah berdasarkan corak grid yang
diperkenalkan oleh Hippodamus.

Salah satu contoh yang terbaik ialah reka bentuk pelan induk pusat pentadbiran ibu negara Amerika Syarikat, Washington D.C. pada 1901. Pelan induk tersebut
dihasilkan oleh satu kumpulan perancang bandar tempatan yang diwakili oleh Daniel Burnham, Charles F. Mckim dan Frederick L. Olmsted Jr. , di bawah Komisen
Pelan McMillan yang bermiripkan konsep asal pelan induk keseluruhan bandar Washington D.C. yang diilhamkan oleh Pierre Charles L’ Enfant. L’ Enfant mengintegrasikan
sistem grid dan diagonal dalam pelan induk bandar tersebut. Sistem grid yang diterapkan merujuk kepada sistem grid yang digunakan oleh Hippodamus semasa
membina semula bandar Miletus yang musnah akibat perang. Persamaan yang dapat dikaitkan antara Washington D.C. dengan Miletus ialah kedua-dua bandar tersebut
tidak mempunyai sebarang masalah penggunaan tapak tanah untuk membina kedua-dua bandar tersebut. Seluruh bandar Miletus musnah akibat perang manakala tapak
kawasan bandar Washington D.C. belum dihuni semasa Pierre Charles L’ Enfant (seorang jururancang bandar daripada negara Perancis) diberi kepercayaan untuk
merangka pelan induk bagi bandar baru pentadbiran negara Amerika selepas mendapat kemerdekaan pada 1776. Oleh itu, konstrain daripada masalah tanah terhad
dan masalah penempatan sedia ada bukannya menjadi isu dalam perancangan kedua-dua bandar tersebut. Maka sistem perancangan yang paling mudah dan sesuai
untuk membangunkan kedua-dua bandar tersebut ialah sistem grid.

Sungai

Potomac

Rajah 5: Lakaran pelan reka bentuk bandar Washington D.C. oleh penulis berdasarkan Pelan L’Enfant. (Lakaran oleh penulis berdasarkan sebuah lukisan dalam
buku Monumental Washington: The Planning and Development of the Capital Center)

Semasa Amerika baru mendapat kemerdekaan, negara tersebut ialah sebuah negara yang baru dibangunkan oleh orang-orang Inggeris dari Eropah untuk mendapat
kebebasan beragama dan politik (amalan demokrasi) kerana mereka ditindas oleh pemerintahan beraja. Mereka mendirikan koloni-koloni sebagai kawasan penempatan
mereka semasa penempatan di benua Amerika. Sejarah penempatan koloni-koloni ini sangat mirip dengan sejarah orang-orang Yunani semasa mereka membina koloni-koloni
penempatan di sekitar Lautan Mediteranean terutama di sepanjang pantai Laut Aegen pada zaman silam. Pada masa orang-orang Inggeris membina koloni-koloni
baru, kawasan yang menjadi lokasi penempatan adalah pada asalnya milik bangsa Red Indian yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Pandangan soal pemilikan
tanah oleh masyarakat pribumi tersebut berbeza dengan sistem yang diamalkan oleh masyarakat Eropah. Bagi masyarakat pribumi, wilayah sesuatu kawasan penempatan
bukan dimiliki oleh individual tertentu, sebaliknya tapak tanah tersebut dimiliki oleh seluruh masyarakat sesuatu puak suku kaum. Mereka bebas meneroka
wilayah mereka yang mengamalkan sistem penempatan nomad, berpindah-randah yang diketuai oleh seorang pemimpin. Perkara yang amat menyedihkan ialah penempatan
koloni-koloni baru yang kekal didirikan oleh peneroka Inggeris terletak di dalam wilayah yang dimiliki oleh sesuatu suku kaum Red Indian. Akibatnya ialah
tercetusnya peperangan antara peneroka Inggeris dengan suku kaum pribumi yang mana, berakhir dengan penghapusan suku kaum pribumi satu persatu (dalam sejarah
peradaban manusia) sehinggakan mereka berjaya mendirikan 13 wilayah koloni yang kemudiannya dikenali sebagai Amerika Syarikat, bapa demokrasi pada abad
yang ke 21. Oleh itu, perancangan untuk membina penempatan-penempatan baru oleh para peneroka Inggeris tidak mempunyai konstrain pembangunan rasmi/tidak
rasmi sedia ada kerana tradisi masyarakat pribumi itu sendiri yang tidak mengamalkan suatu penempatan yang tetap dan formal.

Rajah 6: Sistem penggunaan diagonal dan paksi yang dominan dapat dilihat daripada balkoni Bangunan United States Capitol State yang memberi jalan akses
secara langsung daripada bangunan ini ke White House, Tugu Washington, Tugu Peringatan Abraham Lincoln dan Tugu Peringatan Thomas Jefferson.

Sistem geometri menjadi sistem perancangan yang popular di kalangan para pereka bentuk perancangan bandar terutamanya apabila merancang sesebuah bandar
baru yang tidak mempunyai konstrain masalah tanah yang terhad dan masalah penempatan sedia ada. Sistem geometri memberi pengaruh yang besar semasa L’Enfant
merangka perancangan bandar pentadbiran Washington D.C. (Rajah 6 dan 7) untuk republik tersebut yang baru mencapai kemerdekaan. Elbert Peets merumuskan
bahawa L’Enfant juga telah terpengaruh dengan prototaip pelan reka bentuk Bandar DiRaja Versailles (Rajah 8), Perancis yang dibina untuk kerajaan Perancis
yang diperintah oleh Raja Louis. Prototaip tersebut diilhamkan oleh Andre le Notre yang menunjukkan suatu reka bentuk campuran

Rajah 7: Foto Bandar Washington D.C. diambil daripada Tugu Washington menunjukkan reka bentuk bandar yang mengaplikasikan sistem grid.
elemen-elemen geometri (Lanskap Renaissance dan Baroque) iaitu antaranya ialah (Choay, 1969):

1. Pelan grid (segiempat sama atau tepat) yang dikenalkan semasa tamadun Yunani Purba.

2. Prototaip sistem grid yang mempunyai beberapa lanskap yang ditonjolkan sebagai sebuah dataran dalam keseluruhan struktur pelannya. Struktur
pelan ini mempunyai persamaan dan hubungkait dengan pembinaan taman landskap ala-Itali (Italian Garden).

3. Sistem paksi geometri diagonal yang digunakan secara meluas semasa zaman Renaissance. Ia boleh disamakan dengan struktur sistem diagonal yang
bersilang pada titik fokus yang sama diaplikasikan pada konsep sistem ‘French Hunting Forest’ (sistem jalan pemburu-pemburu binatang di Perancis) yang
popular diamalkan dalam pembangunan semula Kota Paris semasa zaman Renaissance.

4. Aplikasi kombinasi sistem grid, diagonal dan lain-lain geometri yang lebih komplek digunakan dalam reka bentuk ‘Early French Gardens’.

Rajah 8: Lakaran pelan reka bentuk Bandar DiRaja Versailles oleh Andre le Notre. (Lakaran oleh penulis daripada foto slaid)

Berdasarkan daripada prototaip-prototaip ini, L’Enfant mencernakan suatu idea dalam merangka pelan induk perancangan struktur bandar Washington D.C. Persamaan
yang paling ketara dengan Pelan Taman DiRaja Versailles ialah pelan perancangan pusat pentadbiran di Washington D.C. yang menggambarkan pemusatan bangunan
parlimen Amerika Syarikat iaitu Bangunan Capitol State. Pusat pentadbiran ini mempunyai paksi dominan dalam lanskap yang dibina antara Bangunan Capitol
State dengan bangunan Tugu Peringatan Abraham Lincoln di samping landskap grid dan diagonal yang sekunder. Pelan Versailles ini juga mempengaruhi konsep
perancangan persilangan bulatan yang diilhamkan oleh Christopher Wren dalam cadangan pembaikan reka bentuk kota London.

Rajah 9: Replika Parthenon yang menjadi salah satu tarikan imej Amerika Syarikat.di Knoxsville, Tennessee.
Konsep reka bentuk geometri menjadi daya tarikan para jururancang bandar di Amerika Syarikat yang memudahkan sistem pembahagian dan penjualan lot-lot tanah
kepada peneroka-peneroka oleh kerajaan Amerika. Tarikan ini menjadi semakin popular semenjak pemerintahan Presiden ke Empat, Thomas Jefferson iaitu satu-satunya
prersiden Amerika yang berlatarbelakang profesion seni bina. Presiden ini amat tertarik dengan hasil-hasil kerja seni bina dan corak perancangan Christopher
Wren berdasarkan hasil kerjanya dalam konsep rumah kediaman Chiswick House serta lanskapnya yang bermiripkan dominasi pepaksian dan pemusatan berasaskan
konsep rumah kediaman Andrea Palladio dan landskap Pelan Bandar DiRaja Versailles.

Konsep Reka Bentuk Bandar Grid Tamadun Yunani dan Romawi Purba/Hippodamus

Andre le Notre’s Pelan DiRaja Versailles

Christopher’s Wren Pembangunan Semula Kota London/Chiswicks House

L’Enfant Pelan Ibukota Amerika: Washington D.C.

Kampus Universiti Virginia oleh Thomas Jefferson

Semua Reka bentuk Bandar di Amerika Syarikat

Rajah 10: Kronologi pemakaian stail corak geometri dalam perancangan bandar

Konsep ini diilhamkan dalam pembinaan Kampus Universiti Virginia yang diseliakan oleh Presiden Jefferson sendiri. Minat Thomas Jefferson dalam aplikasi
sistem geometri Kepada pembangunan corak bandar dan reka bentuk bangunan mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep sistem politik demokrasi yang diamalkan
di Amerika Syarikat. Sistem ala demokrasi yang diamalkan pada sejarahnya berlatar belakangkan sistem yang diwarisi (Rajah 9) daripada Tamadun Yunani dan
Romawi Purba. Oleh itu, Jefferson amat tertarik dengan konsep pembangunan reka bentuk bandar dan seni bina bangunan yang mempunyai ciri-ciri mirip dengan
pembangunan bandar dan seni bina Yunani dan Romawi. Berasaskan ciri-ciri tamadun ini, pemakaiannya diintegrasi dengan elemen-elemen geometri yang lebih
kompleks yang diamalkan dalam perancangan bandar dan seni bina Renaissance iaitu gaya corak stail seni bina dan perancangan yang menghidupkan kembali ciri-ciri
geometri berasaskan tamadun Yunani dan Romawi. Walau bagaimanapun, pendekatan pemakaian yang ditekankan menggambarkan perihal masyarakat pada masa Amerika
Syarikat sebagai bukan sahaja negara baru yang mengamalkan sistem demokrasi yang paling menyeluruh, malah ia juga menggambarkan kompleksiti kefahaman masyarakat
Amerika dalam bidang sains dan teknologi.

Kesimpulan

Reka bentuk perancangan bandar Eropah pada zaman Renaissance sangat mempengaruhi reka bentuk bandar terutamanya di benua Amerika yang dikenali sebagai benua
baru yang dibangunkan semasa era penjajahan. Berdasarkan daripada corak reka bentuk bandar seperti reka bentuk grid di bandar Miletus, cardo dan decumanus
di bandar Timgad dan Rom, dan orientasi radial dan diagonal pada Pelan Bandar DiRaja Versailles, ia diperkenalkan dalam sistem reka bentuk bandar di bandar-bandar
baru yang dibina di negara-negara yang mendapat kemerdekaan. Sistem ini diperkenalkan semasa era-kolonialisma Eropah di wilayah-wilayah tersebut. Gabungan
elemen-elemen geometri seperti segiempat tepat, segitiga, heksagon, piramid, bulatan, sudut pemaksian, dan garisan melengkung, radial, diagonal diolahkan
dalam sistem grid untuk menghasilkan pelan reka bentuk bandar yang kompleks dan unik iaitu sesuai mengikut citarasa dan kehendak zaman. Elemen-elemen ini
diperkembangkan samada dalam pembangunan bandar-bandar baru atau pembangunan semula sebahagian daripada bandar sedia ada sejak zaman Revolusi Industri
dan ia terus diperkembangkan sehingga pada masa kini.

Rajah 11: Lakaran pelan Dataran Pentadbiran Putrajaya yang mempunyai Pusat Pentadbiran (atas), Jabatan Perdana Menteri (kanan), dan Masjid (kiri).

Sebagai contohnya pelan induk Putra Jaya, bandar pentadbiran Malaysia yang baru, mempunyai ciri-ciri campuran elemen seni bina Islam, dan reka bentuk pusat
bandarnya menggambarkan ciri-ciri ala-Renaissance dan Baroque berdasarkan konsep ‘Bandar dalam Taman’ (Garden City) yang diilhamkan oleh Sir Ebenezer Horward,
dan berdasarkan secara reka bentuk fizikalnya direka bentukkan oleh Barry Parker dan Raymond Unwin dalam bandar baru ‘Bandar dalam Taman’ yang pertama
di dunia iaitu Letchworth yang terletak beberapa puluh kilometer Utara Kota London. Pusat bandar tersebut mempunyai elemen-elemen reka bentuk mirip dengan
reka bentuk pelan yang disarankan oleh Christopher Wren dalam cadangan pembangunan semula sebahagian daripada Kota London selepas ia mengalami kebakaran.
Putrajaya mempunyai pusat bandar yang berpusat. Reka bentuk bandar ini juga dipengaruhi oleh elemen lanskap dan seni bina Renaissance dan Baroque yang
diperkenalkan oleh para pedagang Itali di India yang mempengaruhi seni bina Kompleks Kerajaan dan DiRaja Dinasti Islam Moghul. Elemen-elemen lanskap bulatan
dan melengkung merupakan ciri-ciri utama yang dihubungkan antara satu sama lain oleh satu paksi linear utama. Pusat Pentadbiran menjadi ikon yang paling
dominan pada lokasi sudut hujung dataran bulatan bersebelahan dengan Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai lanskap dalamannya yang bercirikan Taman Itali
(Italian Garden), dan bersebelahan dengan Masjid Besarnya.

Rujukan:

Argan, G. C., (1969), The Renaissance Cities, New York: George Braziller.

Barnett, J., (1987), The Elusive City, London: The Herbert Press.

Choay, F, (1969), The Modern City: Planning in the 19th Century, New York: George Braziller.

Reps, J.W., (1967), Monumental Washington: The Planning and Development of the Capital Center, New Jersey, Princeton University Press.

Trachtenberg, M. dan Hyman, I., (1986), Architecture: From Prehistory to Post-Modernism/The Western Tradition, New York: Harry N. Abrams Inc.

McKay, J., B. Hill dan J. Buckler, (1987), A History of Western Society, 3rd ed., Boston: Houghton Mifflin Company

Saalman,H., (1968), The Medieval Cities, New York: George Braziller

Wycherley, R.E., (1973), How the Greeks Built Cities, New York:Macmillan Press Ltd.

landscaping idea photo galleries
landscaping idea photo galleries

No comments:

Post a Comment